Antara produk Arma Food Enterprise (akhbar)


January 28, 2006

Sate Kerang Produk Baru Tarikan Ke Tanjong Karang

TANJONG KARANG, 28 Jan (Bernama) -- Jika Kajang terkenal dengan keenakan sate kajangnya, Tanjong Karang pula kini boleh berbangga dengan keunikan rasa sate kerang.

Perniagaan sedang giat diusahakan secara kecil-kecilan oleh sepasang suami isteri Maria Abdul Rahman dan Abdul Azis Arabia, kedua-duanya berusia 51 tahun.

Produk makanan itu mula diusahakan sejak dua tahun lalu setelah perniagaan kerang beku yang dijalankan mereka selama enam tahun mengalami kemerosotan akibat keengganan beberapa pembeli mengambil stok yang telah ditempah.

Ekoran tindakan pembeli itu, berlaku lambakan kerang di perusahaan mereka menyebabkan timbulnya idea kepada Maria untuk mengusahakan sate kerang bagi mengelakkan kerang beku yang disimpan menjadi rosak dan perusahaan mereka rugi.

"Pada masa itu saya benar-benar susah hati sebab stok kerang beku banyak, macam mana nak bayar gaji pekerja, nak pusing modal...

"Masa itu saya fikir saya kena buat sesuatu untuk jual kerang beku," kata Maria, anak jati Tanjong Karang, kepada Bernama.

PROSES MEMBUAT SATE KERANG

Proses membuat sate kerang memerlukan persekitaran kerja yang bersih bagi memastikan produk yang dihasilkan dapat bertahan lama dan mengekalkan keunikan rasanya.

Menurut Maria, kerang yang baru dibeli dari nelayan, diambil dan dibersihkan sebelum ia direbus untuk memudahkan proses mengeluarkan isi kerang.

Selepas itu kerang berkenaan akan dikopek untuk diambil isinya.

Dengan dibantu lapan pekerja terdiri daripada suri rumah di kawasan berhampiran, isi kerang yang telah dikeluarkan akan dikeringkan airnya bagi memastikan sate kerang yang dihasilkan dapat bertahan lama.

"Kerang ni sensitif sebab kalau kita tidak jaga kebersihan masa proses membuatnya ia akan menyebabkan kerang mudah rosak dan orang yang makan akan mengalami keracunan," katanya.

Selepas itu, isi-isi kerang yang sudah dikeringkan airnya akan dicucuk menggunakan lidi buluh sebelum dibungkus dan dilabelkan.

Kerja-kerja mencuci, mencucuk dan membungkus dilakukan sendiri dengan dibantu anak-anaknya.

PASARAN SATE KERANG

Selain untuk pasaran luar daerah seperti Kuala Selangor dan Sabak Bernam, sate kerang berkenaan juga dijual untuk pasaran tempatan terutama di kedai makan sekitar daerah Tanjong Karang.

Secucuk sate kerang dijual dengan harga 30 sen, siap dengan kuahnya.

"Sejak sate kerang ini diperkenalkan, ia mendapat sambutan menggalakkan, Alhamdulillah.

"Selalunya suami kakak akan menghantar bekalan sate ke kedai-kedai makan pada waktu pagi. Ada juga yang kami hantar dua kali sehari iaitu pagi dan petang," kata ibu kepada enam orang anak itu.

Keunikan rasa sate kerangnya juga menjadikan makanan itu antara pilihan kebanyakan jabatan kerajaan dalam majlis yang mereka anjurkan.

Maria berkata setiap hari sebanyak 400 cucuk sate kerang dapat dihasilkan dan tempahan yang diterimanya semakin banyak.

Ada juga segelintir penggemar makanan laut yang menjadikan sate kerang itu sebagai lauk untuk dimakan dengan nasi.

KEISTIMEWAAN SATE KERANG

Ketika ditanya keistimewaan sate kerangnya, Maria berkata ia terletak pada kuah kacangnya yang pekat dan manis.

Katanya kuah sate kerangnya diperbuat daripada kacang tanah yang diadun bersama beberapa bahan lain.

Maria berkata sebelum berjaya mencipta resepi kuah sate kerangnya itu, dia dan suaminya telah beberapa kali mencuba.

"Banyak kali kakak cuba buat kuah untuk disesuaikan dengan rasa kerang, anak-anak kakaklah jadi mangsa, kami suruh mereka rasa dan tanya pendapat mereka.

"Kuahnya walaupun nampak seperti kuah kacang yang biasa kita makan dengan sate ayam atau daging, tetapi rasanya lain sedikit. Selepas beberapa kali rombakan, akhirnya barulah jadi," katanya.

CABARAN SATE KERANG

Setiap perniagaan yang diusahakan, tidak kira kecil atau besar pastinya mendatangkan risiko dan cabaran inilah yang terpaksa dihadapi oleh Maria.

Antara cabaran yang dihadapinya ialah kesukaran mendapatkan kerang segar bagi menghasilkan sate kerang.

Katanya, jika kerang yang digunakan tidak segar, ia akan menjejaskan keenakan sate kerang yang dihasilkan.

"Kerang yang segar diperlukan bagi menjamin keenakan, kebersihan dan keaslian rasa sate kerang," ujarnya.

Selain itu, Maria juga terpaksa menghadapi persaingan daripada pengusaha lain yang juga mengeluarkan produk makanan sate kerang.

Katanya, sewaktu mula mengusahakan produk makanan ini, dia dan suami tidak menghadapi masalah memandangkan sate kerang merupakan resepi ciptaan mereka sendiri.

Tetapi apabila sate kerang mula mendapat tempat dan pasaran yang baik, ada di kalangan pengusaha makanan cuba "meniru" resepi sate kerangnya.

Seperti peniaga lain, Maria dan suaminya berharap agar sate kerang ciptaannya dapat menembusi pasaran di negeri-negeri lain.

"Kakak berharap sate kerang yang kakak usahakan dapat dipasarkan di negeri lain supaya semua orang dapat merasai keenakan sate kerang," katanya.

Katanya, beliau kini dalam perancangan untuk membesarkan perniagaannya dengan bantuan Jabatan Perikanan dan agensi kerajaan yang lain.

"Untuk membesarkan perniagaan ini, kakak tahu modal yang banyak diperlukan dan kakak berharap dengan adanya bantuan daripada kerajaan untuk membantu pengusaha industri kecil dan sederhana, impian kakak dapat terlaksana," katanya dengan penuh harapan.

-- BERNAMA
MAHU JANA PENDAPATAN!!?