Projek Kebun Kerang Bakal Diperluaskan

Pembangunan kebun kerang di Selangor akan dikembangkan bagi meningkatkan lagi pendapatan golongan nelayan.

Dato' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan usaha mewujudkan kebun kerang yang memberi hasil pendapatan sehingga RM3,000 sebulan sebagai satu langkah bijak.

"Kita berharap dapat memperkembangkan usaha ini supaya masyarakat nelayan di pesisir Kuala Selangor, Kapar dan Sabak Bernam dapat menyertai program ini dan sekali gus dapat menyelesaikan beberapa masalah kemiskinan di kawasan ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan projek kebun kerang negeri Selangor di pangkalan nelayan Kampung Tok Muda, Kapar dekat sini petang ini.

Beliau dalam ucapannya sebelum itu berkata kesudian kerajaan negeri sebelum ini mengecualikan tol bagi kebun kerang juga mendorong kejayaan pembangunan kebun kerang ini.

"Saya difahamkan perairan laut di bawah 3 batu nautika terletak dalam kerajaan negeri dan oleh itu dikenakan tol pada kadar RM200.00 sehektar setahun.

"Ini memang membebankan nelayan sudah tentu mereka tidak mampu membayarnya," katanya.

Beliau berharap projek itu dapat diuruskan dengan cekap dengan kajian mengenai kualiti kerang yang dihasilkan dapat dibuat.

Projek kebun kerang diperkenalkan pada tahun 2005 dengan tujuan memberi peluang kepada nelayan tradisi dan pantai melibatkan diri secara langsung dengan ternakan kerang di samping meningkatkan pendapatan mereka daripada bawah RM750 sebulan kepada RM3,000 sebulan.

Seluas 21,000 hektar kawasan dataran berlumpur di Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dibangunkan sebagai kawasan ternakan kerang yang lebih tersusun.

dsc_0030sm

MAHU JANA PENDAPATAN!!?